TAPIR yang dilanggar seorang penunggang motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
TAPIR yang dilanggar seorang penunggang motosikal. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Penunggang motosikal maut selepas melanggar tapir yang tiba-tiba melintas di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul, di sini, lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 malam itu, mangsa dikatakan tercampak ke jalan dan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kemalangan membabitkan seorang lelaki berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 seorang diri dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah.

"Berdasarkan siasatan awal, sebaik mangsa tiba di lokasi tiba-tiba seekor tapir melintas jalan, menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan liar itu sebelum tercampak ke tepi jalan.

"Akibat kemalangan, mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amran berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala pilah bagi pengendalian bedah siasat manakala haiwan berkenaan juga didapati mati.

"Kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 9:18 AM