PELAJAR lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Kampung Gedang, Terachi. FOTO Ihsan Bomba
PELAJAR lelaki maut dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Kampung Gedang, Terachi. FOTO Ihsan Bomba
Ahmad Hasbi


Seri Menanti: Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal ditunggangi merempuh sebuah kereta di Kilometer 24, Jalan Kampung Gedang, Terachi, dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, mangsa, Shah Iskandar Nor Haszemi, 17, disahkan maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta patah kaki kanan.

Difahamkan, Shah Iskandar ketika ini menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolahnya dan kejadian berlaku ketika pelajar itu baru selesai sesi persekolahan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, Shah Iskandar yang menunggang motosikal bergerak lurus dikatakan merempuh sebuah kereta yang membelok ke kanan simpang jalan.

"Siasatan awal mendapati penunggang motosikal Honda RS 150 dalam perjalanan dari sebuah sekolah dekat Tanjung Ipoh, di sini, untuk pulang ke rumahnya di Kampung Sawah Liat.

"Apabila sampai di tempat kejadian, terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Seremban sedang membelok ke kanan untuk masuk ke simpang Kampung Gedang.

"Tiba-tiba penunggang motosikal datang dari arah belakang terus melanggar bahagian pintu hadapan sebelah kanan Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, Shah Iskandar parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk dibedah siasat.

"Manakala pemandu Proton Wira mengalami patah kaki kanan, kecederaan pada bahagian muka dan dada. Dia turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 6:40 PM