Sofiya Umairah (gambar kecil) maut dirempuh kenderaan ketika melintas jalan. FOTO ihsan pembaca
Sofiya Umairah (gambar kecil) maut dirempuh kenderaan ketika melintas jalan. FOTO ihsan pembaca
Mohd Amin Jalil


Kuala Pilah: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut selepas dirempuh kenderaan ketika melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Kuala Pilah-Rembang Panas, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, dalam kemalangan pada 10.50 pagi itu, mangsa, Sofiya Umairah Ab Rahman disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa cuba melintas jalan dari rumahnya ke rumah ibu saudaranya sebelum dirempuh kenderaan.

"Kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux pula dalam perjalanan dari arah Bahau menuju Seremban.

"Sebaik tiba dilokasi mangsa dipercayai berlari melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amran berkata, akibat rempuhan itu, kanak-kanak terbabit tercampak ke bahu kiri jalan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menjalani proses bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 5:37 PM