Mohamed Farid Noh


LELAKI yang memijak al-Quran dan membuat rakaman suara menghina Islam yang disiarkan secara langsung di Facebook (FB), 13 Februari lalu, direman tiga hari.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 35 tahun itu bermula hari ini hingga Selasa dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Nor Hidayah Abd Manaf di Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi tadi.

Perintah reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 295 dan 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, suspek yang memakai baju kemeja T berkolar bulat putih dengan grafik burung hantu tiba kira-kira jam 10 pagi di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru dan dilihat hanya menundukkan kepala ketika diiring ke mahkamah.

Semalam Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Asisten Komisioner M Kumar dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan jam 1.40 tengah hari semalam.

Video suspek memijak al-Quran dan menghina Islam yang dibuat secara langsung di FB menimbulkan kemarahan ramai umat Islam.

Rakaman video itu juga tular menyebabkan suspek dilaporkan dibelasah orang awam.

Berita berkaitan

Lelaki pijak al-Quran ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Februari 2020 @ 12:46 PM