MAZLAN (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas daripada S Somu (kiri) kepada Shafa'aton pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh. FOTO Bernama
MAZLAN (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah tugas daripada S Somu (kiri) kepada Shafa'aton pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh. FOTO Bernama
Safeek Affendy Razali


KETUA Polis Daerah (KPD) Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar yang baharu dilantik semalam menjadi wanita pertama yang dilantik ke jawatan berkenaan di Selangor.

Shafa’aton, 42, berasal dari Mersing, Johor sebelum ini adalah Pegawai Turus (PT) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pelantikan Shafa’aton menjadi sejarah buat IPK Selangor kerana mendapat seorang pegawai wanita sebagai KPD baharu.

“Saya yakin beliau mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang KPD berdasarkan pengalamannya sepanjang lebih 21 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pelantikannya juga adalah satu daripada perancangan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang ingin mendedahkan pegawai polis wanita bertugas mengetuai sesebuah daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Jawatan KPD Sungai Buloh antara Shafa’aton dan Superintendan S Somu yang bertukar ke IPK Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, Shafa’aton bakal menghadapi cabaran baru apabila ditempatkan di daerah Sungai Buloh berikutan situasi kawasan berkenaan yang dianggap penuh dengan cabaran.

“Saya percaya dengan pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki beliau khususnya dalam bidang jenayah, maka tiada masalah yang tidak dapat diselesaikannya,” katanya.

Sementara itu, Shafa’aton berkata, keutamaan yang akan dilakukan sejurus dilantik sebagai KPD Sungai Buloh adalah memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

“Apa yang penting adalah segala penguat kuasaan undang-undang harus dilaksanakan demi keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.

“Saya akan menggunakan segala pengetahuan dan pengalaman yang ada dalam melaksanakan tugas ini di samping bekerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Sebelum berkhidmat di IPK Kuala Lumpur, Shafa’aton pernah dilantik sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson serta pegawai penyiasat kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 6:12 PM