Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Helah Geng Aqil yang merekrut teman wanitanya sebagai mata-mata ketika melakukan kegiatan jenayah pecah kedai dan sekolah terbongkar selepas enam individu ditahan dalam serbuan di Lorong Bakawali Batu 18, Kuang, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang memaklumkan bengkel miliknya di Saujana Utama, di sini, dipecah masuk jam 10.30 pagi.

"Susulan laporan itu, kami menahan enam individu terbabit termasuk dua wanita berusia 18 hingga 20 tahun itu dengan kerjasama orang ramai di Lorong Bakawali Batu 18, Kuang, beberapa jam selepas kejadian pecah masuk bengkel terbabit.

"Ketika ditahan, semua suspek berkenaan berada di dalam sebuah Proton Wira dan kami merampas beberapa barang dipercayai hasil curi di dalam kenderaan itu.

"Selain itu, kami juga merampas beberapa barangan yang ditemui di rumah salah seorang suspek di daerah ini. Antara barang yang dirampas adalah alat ganti dan aksesori motosikal, minyak hitam selain pemutar skru serta spanar dianggarkan bernilai RM20,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini.

 SUPERINTENDAN Shafa'aton Abu Bakar (tengah) ketika sidang media tangkapan Ops Lejang Lee Honda dan Geng Aqil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. FOTO ASYRAF HAMZAH
SUPERINTENDAN Shafa'aton Abu Bakar (tengah) ketika sidang media tangkapan Ops Lejang Lee Honda dan Geng Aqil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. FOTO ASYRAF HAMZAH

Shafa'aton berkata, soal siasat dilakukan mendapati geng itu aktif melakukan kegiatan itu sejak Januari lalu dengan terbabit dalam dua kes pecah kedai di Sungai Pelong dan tiga kes pecah sekolah di Sungai Buloh.

"Geng ini menggunakan teman wanita mereka sebagai mata-mata bagi melihat keadaan di sekitar lokasi sasaran mereka seperti bengkel kereta dan sekolah sebelum hasil curi itu dijual kepada kenalan rapat selain kegunaan sendiri.

"Semakan mendapati tiga daripada empat suspek lelaki mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala tiga lagi suspek termasuk dua wanita tidak memiliki rekod," katanya.

Beliau berkata, semua suspek masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah kedai.

"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras jenayah di daerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:00 PM