Oleh Zuhainy Zulkiffli


KANAK-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu tiri, semalam, kini ditempatkan di wad kanak-kanak di Hospital Seberang Jaya, Bukit Mertajam, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, kanak-kanak malang itu dijangka menjalani pemeriksaan imbasan X-ray hari ini.

Katanya, ia akan dijalankan oleh pakar kanak-kanak serta melakukan pemeriksaan ke atas mangsa.

“Siasatan awal polis mendapati tidak berlaku penderaan ke atas adik-beradik mangsa yang lain.

“Manakala ujian air kencing terhadap ayah kandung mangsa pula didapati positif methamphetamin. Dia sudah ditahan reman bermula pada hari ini sehingga Ahad depan (16 Februari) bagi siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan berhubung kanak-kanak malang berkenaan yang ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kesan kecederaan di muka dan tubuh dipercayai didera ibu tiri di rumahnya di Flat Ampang Jajar Permatang Pauh, Bukit Mertajam.

Ketika ditemui, muka dan badan mangsa mengalami kecederaan serius sehingga matanya tidak dapat dibuka.

Susulan daripada kejadian itu, kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital manakala ibu tiri dan bapa kandung mangsa ditahan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 1:11 PM