BERNAMA

PASANGAN suami isteri yang ditahan kerana disyaki mendera kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sehingga mengalami kecederaan di Flat Ampang Jajar di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, semalam, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, bapa kandung dan ibu tiri kanak-kanak itu direman bermula hari ini dan kes disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Ujian air kencing terhadap lelaki berusia 36 tahun itu mendapati dia positif methamphetamine manakala isterinya yang berumur 38 tahun negatif, namun kedua-dua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

“Wanita itu yang juga suri rumah mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah iaitu mencuri manakala suaminya yang bekerja sebagai mekanik mempunyai empat kes jenayah dan empat kes dadah,” katanya hari ini.

Katanya, kanak-kanak perempuan itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan pemeriksaan lanjut akan dibuat hari ini oleh doktor pakar kanak-kanak termasuk X-ray serta ‘CT’ scan di bahagian kepalanya.

Nik Ros Azhan berkata, kanak-kanak itu dalam keadaan stabil dan setakat ini dia memberikan kerjasama yang baik berbanding semalam kerana masih dalam keadaan trauma.

“Berdasarkan siasatan setakat ini hanya kanak-kanak itu saja yang dipukul serta didera oleh ibu tirinya menggunakan objek tumpul seperti topi keledar, kayu dan penyangkut baju, tidak membabitkan adik kandungnya atau lapan adik-beradik tirinya yang lain (tidak didera),” katanya.

Kanak-kanak perempuan itu diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas menerima maklumat mengenai penderaan daripada penduduk flat terbabit, dan dia ditemui dengan kesan kecederaan serius di badan, tangan dan muka sehingga menyebabkannya sukar membuka kedua-dua belah mata.

Kanak-kanak itu tidak bersekolah sejak tinggal di flat berkenaan tahun lepas, dan ibu kandung kanak-kanak itu pula ketika ini sedang menjalani hukuman di penjara.

Berita berkaitan

Mangsa dera jalani pemeriksaan hari ini [METROTV]

Mangsa amarah ibu tiri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Februari 2020 @ 5:57 PM