GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini


SEORANG kanak-kanak lelaki sembilan tahun, maut selepas terjatuh dari tingkat empat rumahnya di Flat Limau Manis, Bukit Mertajam, hari ini.

S Raajveer maut serta merta kerana parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.28 pagi dan siasatan dapati mangsa adalah orang kurang upaya kategori mental.

Katanya, dia dipercayai memanjat tingkap dapur rumahnya menggunakan sinki dan difahamkan ibu saudaranya sempat melihatnya di situ.

“Ketika ibu saudaranya cuba menarik mangsa, kanak-kanak itu bagaimanapun tergelincir dan jatuh di bawah flat.

“Tingkap dapur tidak dipasang besi jeriji,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa tinggal di unit itu bersama ibu, bapa, ibu saudara dan dua adiknya, malah semua mereka ada di rumah ketika kejadian.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut dan siasatan di sekitar rumah mangsa juga tiada unsur jenayah dikesan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 12:04 PM