GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kejadian penderaan terhadap kanak-kanak sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pada masa sama pihaknya juga mahu pihak berkaitan dapat menilai tahap kesihatan mental rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes penderaan kanak-kanak membabitkan ibu bapa mencatatkan peningkatan sehingga 20 peratus sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac tahun lalu.

"Wanita Umno menzahirkan rasa hiba dan simpati di atas kes kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai akibat didera di Melaka, kelmarin

"Pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas dengan segera supaya pelaku dihadapkan ke muka pengadilan sekali gus menjadi pengajaran kepada orang ramai.

"Kes yang berlaku seperti ini menunjukkan tahap mental orang ramai semakin terganggu sehingga sanggup melakukan perkara tidak sepatutnya terhadap kanak-kanak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, pihaknya memandang serius kejadian yang menimpa kanak-kanak terbabit.

"Lebih mengecewakan apabila dilaporkan pelaku (suspek) adalah ibu kandung dan bapa tiri mangsa. Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat berlindung, namun malang ia berlaku sebaliknya.

"Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga agar perkara (penderaan) seperti ini dapat diatasi," katanya.

Portal Harian Metro semalam melaporkan mangsa ditemukan meninggal dunia dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka dengan kesan cedera dan lebam di anggota badan.

Terdahulu, pihak polis menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya lemas di dalam tong air di rumahnya pada 4 petang Jumaat lalu.

Bagaimanapun, siasatan di tempat kejadian, polis mendapati ada kesan lebam serta kecederaan di anggota badan kanak-kanak itu.

Ibu kandung dan bapa tiri mangsa kemudian direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 4:08 PM