Siti Sofia Md Nasir


SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas pertuduhan mendera dan mengabaikan anak perempuan berusia 11 tahun.

Tertuduh, P Chadrasegaran, 36, dan T Lohkanayagi, 38, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan berasingan dihadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut kertas pertuduhan, Lohkanayagi, yang juga ibu tiri kepada kanak-kanak berkenaan didakwa menganiaya dan mengabaikan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Manakala, Chadrasegaran yang juga bapa kandung mangsa pula didakwa mengabaikan, mendedahkan serta membiarkan anaknya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan emosi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, Butterworth antara pertengahan 2019 hingga 12.15 tengah hari, 9 Februari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya J G Kaameni tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh bagi mengelakkan mereka mendekati dan terus mengganggu mangsa.

LOHKANAYAGI dan Chadrasegaran didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Danial Saad
LOHKANAYAGI dan Chadrasegaran didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. FOTO Danial Saad

Bagaimanapun, Lohkanayagi memohon dibenarkan ikat jamin berikutan mempunyai tujuh anak untuk dijaga, selain anak bongsunya mempunyai penyakit lemah jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu masing-masing diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai didera ibu tirinya menggunakan objek tumpul seperti topi keledar, kayu dan penyangkut baju.

Kanak-kanak perempuan itu diselamatkan oleh jirannya yang bertindak menghubungi Pegawai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, sebelum dia ditemui dengan kesan kecederaan serius di badan, tangan dan muka sehingga menyebabkan kedua-dua matanya sukar dibuka.

Berita berkaitan

Bapa kandung, ibu tiri direman seminggu

Mangsa dera jalani pemeriksaan hari ini [METROTV]

Mangsa amarah ibu tiri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 12:55 PM