FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


PEMANDU lori berusia 47 tahun ditahan kerana menyerang kekasihnya menggunakan lesung batu dan spring buaian kanak-kanak dalam kejadian di rumah mereka di Taman Kimsar Perai, Bukit Mertajam, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Superintendan Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Menurutnya, suspek tertekan dengan mangsa yang juga janda anak tiga berusia 44 tahun itu kerana terpaksa menanggung perbelanjaan rumah selepas bersekedudukan sejak tiga tahun lalu.

“Pada awal perkenalan, hanya suspek dan mangsa yang tinggal di rumah berkenaan namun mangsa kemudian membawa dua anak kandung dan dua cucu tinggal bersama mereka sejak dua tahun lalu.

“Suspek mendakwa mangsa tidak menyediakan makanan apabila dia pulang dari kerja pada jam 1 pagi malah kerap berleter kepadanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Mustafa berkata, polis yang tiba di tempat kejadian mendapati terdapat tompokan darah atas lantai di kawasan parkir rumah berkenaan.

“Mangsa mengalami luka di dahi dan belakang kepala namun tiada kecederaan serius serta sudah dirawat di Hospital Seberang Jaya.

“Polis merampas lesung batu dan spring buaian kanak-kanak yang disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu. Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya lagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 5:25 PM