Bukit Mertajam: Satu lagi modus operandi peragut yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa - mendekati dan memujuk kanak-kanak untuk berselfie sebelum meragut barang kemasnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata peragut mendekati mangsa kanak-kanak dan memujuknya untuk mengambil gambar.

Kanak-kanak yang termakan pujukan, selalunya menjadi mangsa diragut rantai leher atau gelang tangan emas sebelum peragut melarikan diri.

Nik Ros Azhan berkata, awal hari ini (pada 6.30 pagi), sepasukan polis menahan lelaki berusia 40 tahun dipercayai terbabit dalam kegiatan ragut, di rumah di Seberang Jaya.

“Berdasarkan siasatan, lelaki itu menggunakan modus operandi dengan mendekati mangsa sebelum memujuk kanak-kanak untuk mengambil gambar dan selepas mengambil gambar dia terus ragut rantai leher atau gelang emas sebelum melarikan diri,” kata Nik Ros Azhan.

Beliau berkata, dalam satu lagi kejadian, wanita mengalami kerugian lebih RM3,000 selepas anak perempuannya berusia lapan tahun diragut lelaki dalam kejadian di Bukit Tengah, pada 12.45 tengah hari semalam.

Menurut wanita itu, anaknya sedang bermain sebelum didatangi seorang lelaki dan memujuk kanak-kanak berkenaan mengambil gambar sebelum suspek meragut rantai leher serta gelang emas yang dipakai kanak-kanak itu, katanya.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu terbabit dalam beberapa kes ragut membabitkan kanak-kanak sejak pertengahan tahun ini.

Katanya, berikutan penahanan lelaki itu, polis merampas seutas gelang tangan emas yang terputus.

Lelaki itu turut mengaku barang kemas yang diragut daripada kanak-kanak dalam kejadian itu telah dijual di kedai pajak gadai serta memperoleh RM700.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan polis akan membuat pemeriksaan di kedai-kedai pajak gadai yang membeli barang kemas dijual lelaki berkenaan.

“Suspek mempunyai 26 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata, lelaki yang positif dadah itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 8:21 PM