JAMBU air yang dirampas MAQIS yang dibawa dari negara jiran kerana tidak mempunyai sebarang dokumen. FOTO Ihsan MAQIS
JAMBU air yang dirampas MAQIS yang dibawa dari negara jiran kerana tidak mempunyai sebarang dokumen. FOTO Ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas jambu air yang dibawa masuk dari negara jiran di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, di Padang Terap.

Dalam rampasan itu, pegawai MAQIS menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki untuk diperiksa secara rutin jam 5.45 petang, semalam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, lori itu dipercayai cuba membawa masuk lapan bakul jambu air.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati produk pertanian itu dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen yang sah.

LORI yang ditahan kerana membawa jambu air yang dibawa masuk tanpa dokumen dari negara jiran. FOTO Ihsan MAQIS
LORI yang ditahan kerana membawa jambu air yang dibawa masuk tanpa dokumen dari negara jiran. FOTO Ihsan MAQIS

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM600, namun tiada tangkapan dilakukan.

“Hasil pemeriksaan mendapati barangan itu dibawa tanpa mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lily Rosalind berkata, jambu air itu dirampas untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Keluaran pertanian ini adalah bertujuan untuk mengekang kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit masuk ke dalam negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 9:51 AM