KUBIS yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
KUBIS yang dirampas. FOTO Ihsan MAQIS
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya merampas lebih 21 tan kubis dianggarkan bernilai RM21,000 yang cuba diseludup dari negara jiran kelmarin.

Produk pertanian itu dirampas kira-kira 6.30 petang dalam pemeriksaan ke atas lori di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul, berkata pemeriksaan mendapati kubis yang cuba dibawa masuk berkenaan gagal mematuhi syarat import ditetapkan iaitu tidak mempunyai pengredan, pembungkusan dan pelabelan seperti dinyatakan dalam sijil 3P.

"Kegagalan untuk mengemukakan maklumat terbabit adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, MAQIS sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk produk yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 2:21 PM