ANTARA barangan yang dirampas MAQIS di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Malaysia di Kota Putra. FOTO Ihsan MAQIS
ANTARA barangan yang dirampas MAQIS di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Malaysia di Kota Putra. FOTO Ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk produk pertanian dari Thailand di Kompleks ICQS Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap, kelmarin.

Dalam kejadian 5.45 petang, pemeriksaan terhadap sebuah lori menemui 96 kilogram (kg) daun limau purut, 19 kg udang kering dan enam kg ikan kering dianggarkan bernilai RM2,942.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, tindakan membawa barangan tanpa dokumen sah seperti Permit Import yang dikeluarkan MAQIS dan Sijil Fitosanitasi daripada negara asal adalah satu kesalahan.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, rampasan barangan terbabit bagi mengekang kemasukan perosak ke dalam negara ini yang dibimbangi boleh menjejaskan industri pertanian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 3:45 PM