LENGKUAS sebanyak 313.6 kg yang dirampas MAQIS dalam sebuah lori yang dipercayai dibawa dari Thailand ke negara ini. FOTO IHSAN MAQIS
LENGKUAS sebanyak 313.6 kg yang dirampas MAQIS dalam sebuah lori yang dipercayai dibawa dari Thailand ke negara ini. FOTO IHSAN MAQIS
Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 313.6 kilogram (kg) lengkuas yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit yang sah, kelmarin.

Dalam kejadian 9 malam, produk pertanian itu ditemui dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS), Bukit Kayu Hitam.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind berkata, lengkuas dipercayai dari Thailand itu tidak mempunyai permit import dari MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM627 dan tiada tangkapan dilakukan.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

“Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 2:11 PM