ANGGOTA polis merampas tikar yang digunakan suspek untuk bermain judi bola gelek. FOTO ihsan Polis
ANGGOTA polis merampas tikar yang digunakan suspek untuk bermain judi bola gelek. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS menahan lapan lelaki dalam Operasi Dadu (Op Dadu) yang dijalankan di tapak pembinaan di Saujana Utama, Sungai Buloh, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan 10.30 malam itu, tiga lelaki tempatan yang juga penganjur ditahan bersama lima pemain terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh serta dua lelaki warga Indonesia.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang diketuai Pegawai Turus Deputi Superintendan Norhizam Bahaman.

Menurut sumber, ketika serbuan dijalankan semua suspek sedang leka bermain judi bola gelek dan tidak menyedari kehadiran pihak polis yang membuat serbuan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di tapak pembinaan itu, kami menahan lapan lelaki yang terbabit dengan kegiatan judi berkenaan.

“Kami turut merampas tikar, papan pertaruhan bola gelek, bola getah, bongkah kayu, alat penimbang air, tukul besi dan wang tunai berjumlah RM4,100.

“Semua suspek yang ditahan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

FOTO ihsan polis

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 6:47 PM