LOKASI kejadian lelaki cedera selepas terkena peluru sesat ketika berehat. FOTO ihsan Polis
LOKASI kejadian lelaki cedera selepas terkena peluru sesat ketika berehat. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI yang keluar menangkap ikan bersama dua rakannya cedera di dada kanan terkena peluru sesat dipercayai milik pemburu ketika singgah berehat di kawasan Caruk Jek, Tasik Pedu, Padang Terap, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, mangsa berusia 44 tahun bersama rakannya berusia 53 dan 23 tahun itu menaiki bot ke kawasan tasik itu untuk menangkap ikan sejak Khamis lalu.

Menurutnya, bagaimanapun ketika mereka singgah berehat di tebing tasik jam 4 pagi ini, tiba-tiba rakannya terdengar mangsa menjerit ‘Allahuakbar’ sebelum dia terbaring di atas tanah.

“Mereka kemudian terus membawa mangsa ke Hospital Kuala Nerang untuk menerima rawatan.

“Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sebelum doktor mendapati terdapat kesan lubang di dada kanan di mana imbasan X-ray mendapati terdapat anak peluru di dadanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noh berkata, polis sudah merakam keterangan rakannya berusia 23 tahun itu yang memberitahu ketika kejadian dia hanya mendengar mangsa menjerit kesakitan namun tidak mendengar apa-apa bunyi tembakan.

“Polis kemudian ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mendapati terdapat kesan tembakan dari atas sebatang pokok di situ.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kejadian sebenar dan siasatan awal kemungkinan dilakukan pemburu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dalam keadaan stabil dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjatapi 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 6:20 PM