FOTO Hiasan. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
FOTO Hiasan. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Abnor Hamizam Abd Manap


JABATAN perikanan Negeri Sembilan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan kaedah menuba dan renjatan elektrik bagi menangkap ikan di perairan umum termasuk sungai dan tasik.

Pengarahnya Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya akan mengadakan operasi pemantauan berterusan bagi memastikan cara penangkapan ikan yang dilarang itu tidak digunakan.

Katanya cuaca panas yang berlaku ketika ini menjadi pilihan orang ramai menangkap ikan apabila ada sungai menjadi cetek dan kering.

"Semalam, kami menjalankan operasi Op Sungai Muar bersama nelayan sungai sekitar Kampung Pasir Besar dan Kampung Londah bagi membanteras kegiatan menangkap ikan secara salah dan tidak bertanggungjawab.

"Ini berikutan ada aduan daripada penduduk berhubung kehadiran orang luar yang menangkap ikan di sungai berkenaan," katanya.

Halimi berkata, pihaknya bagaimanapun tidak menghalang penangkapan ikan secara tradisional seperti memancing dan mengoca.

Katanya, pasukan penguatkuasa jabatan perikanan akan komited menjalankan operasi sama ada siang atau malam bagi memastikan habitat semula jadi ikan tidak pupus dengan penangkapan ikan cara salah.

"Kami juga mengalu - alukan aduan orang ramai terhadap sebarang aktiviti menangkap ikan mencurigakan.

"Mereka boleh dikenakan tindakan undang - undang mengikut Kaedah - Kaedah Perikanan ( Perairan Sungai) 1976 Negeri Sembilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 5:53 PM