PERALATAN digunakan bagi menangkap ikan menggunakan kaedan renjatan elektrik oleh individu disyaki di Sungai Triang, Jelebu. FOTO Abnor Hamizam. Abd Manap
PERALATAN digunakan bagi menangkap ikan menggunakan kaedan renjatan elektrik oleh individu disyaki di Sungai Triang, Jelebu. FOTO Abnor Hamizam. Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


JABATAN Perikanan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu didapati menangkap ikan secara salah di perairan umum di negeri ini.

Pengarah Perikanan negeri, Halimi Abu Hanip berkata, hasil siasatan dan maklumat awam, pihaknya mendapati ada individu menggunakan renjatan arus elektrik bagi menangkap ikan di sungai.

Beliau berkata, tindakan dilakukan itu adalah kesalahan mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976 Negeri Sembilan.

“Sudahlah mereka melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada masa sama berani menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara salah.

“Hasil maklumat awam, kami menerima maklumat mengenai aktiviti merenjat ikan secara berkumpulan di Sungai Triang dan Sungai Kenaboi, Jelebu, baru-baru ini,” katanya.

Halimi berkata, pada Sabtu lalu pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai kegiatan merenjat ikan yang dilakukan sembilan individu di Sungai Triang.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kegiatan berkenaan yang boleh menyebabkan kepupusan ikan selain membahayakan nyawa sendiri.

“Berikutan itu, kami membuat laporan di Balai Polis Kuala Kelawang pada Ahad lalu bagi membolehkan polis menyiasat kejadian mengikut akta berkaitan.

“Pegawai kami bersama polis menyerbu rumah individu terbabit dalam kegiatan itu pada 4.20 petang Ahad lalu, namun dia tiada di rumah,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengesahkan menerima laporan dibuat Jabatan Perikanan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 1:34 PM