ANAK ikan dilepaskan ke dalam Tobek Godang. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap
ANAK ikan dilepaskan ke dalam Tobek Godang. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sudah memulakan dua projek pembangunan estet ikan di Tobek Godang, Sri Menanti, Kuala Pilah dan Kampung Kuala Pah, Kuala Klawang, Jelebu.

Tobek Godang adalah kolam ikan berkeluasan 5.2 hektar di Kampung Sikai, Kuala Pilah manakala di Kampung Kuala Pah adalah bekas lombong tinggal dipercayai ketika era penjajahan British.

Uniknya, Tobek Godang yang bermaksud kolam besar dibina menggunakan tenaga manusia dan peralatan tradisional dipercayai sudah berusia lebih 100 tahun.

Masyarakat dahulu membina kolam besar berkenaan secara gotong-royong dan pada awalnya dibina untuk kegunaan penduduk membela ikan di samping menjadi kolam takungan air.

Malah Tobek Godang pernah dilawati Tun Abd Razak Hussein pada 1967 yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia sempena rancangan Projek Pembangunan Daerah Negeri Sembilan.

TOBEK Godang estet ikan pertama di Negeri Sembilan.  FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap
TOBEK Godang estet ikan pertama di Negeri Sembilan. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata, Tobek Godang adalah estet ikan pertama manakala lombong tinggal seluas 1.6 hektar di Kampung Kuala Pah menjadi lokasi kedua projek estet ikan di negeri ini.

Katanya Tobek Godang satu-satunya estet ikan yang hampir serupa dengan estet ikan yang popular di Temerloh, Pahang.

"Tobek Godang sesuai dijadikan lokasi 'mengoca' ikan berikutan terdapat kunci air yang boleh mengawal paras air dan bagi lombong tinggal pula ia sesuai dengan aktiviti memancing serta menjaring.

"Biarpun berlainan kaedah menangkap ikan, kewujudan estet ini mampu menghasilkan pelbagai spesies ikan air tawar seterusnya menambah pendapatan komuniti setempat.

"Estet ikan ini juga dapat menjadi pusat pemuliharaan dan menambah simpanan ikan air tawar selain boleh dijadikan lokasi agropelancongan," katanya ditemui pada program pelepasan ikan ke perairan umum di estet ikan Kampung Kuala Pah, baru-baru ini.

LOMBONG terbiar di Kampung Kuala Pah dijadikan estet ikan kedua di Negeri Sembilan. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap
LOMBONG terbiar di Kampung Kuala Pah dijadikan estet ikan kedua di Negeri Sembilan. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap

Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip.

Bakri berkata, Jabatan Perikanan sudah melepaskan pelbagai spesies ikan sebelum pelbagai aktiviti seperti 'mengoca', memancing dan menjaring dijalankan di estet berkenaan selepas satu atau dua tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang itu berkata, komuniti setempat diharap dapat menjaga estet ikan dengan baik dan memastikan tiada aktiviti menangkap ikan secara salah seperti menuba dan renjatan elektrik.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu jabatan perlu melakukan pemantauan selain penduduk yang mengetahui kegiatan itu turut melaporkannya kepada pihak berkuasa.

BAKRI (dua dari kanan) melepaskan ikan ke dalam lombong terbiar di Kampung Kuala Pah.  FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap
BAKRI (dua dari kanan) melepaskan ikan ke dalam lombong terbiar di Kampung Kuala Pah. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap

ANTARA spesies ikan di dalam lombong terbiar di Kampung Kuala Pah.  FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap
ANTARA spesies ikan di dalam lombong terbiar di Kampung Kuala Pah. FOTO: Abnor Hamizam Abd Manap

Sementara itu, Halimi berkata, sebanyak 35,000 anak ikan lampam sungai, baung dan patin sudah dilepaskan ke dalam Tobek Godang menerusi dua program.

Katanya, di lombong tinggal itu pula sebanyak 80,000 anak ikan lampam sungai, baung, kerai kunyit dan galah sudah dilepaskan sejak tahun lalu.

"Kita akan mengadakan kembali pesta 'mengoca' di Tobek Godang kerana ia pernah diadakan pada satu masa dahulu dan berhasrat mengadakan kembali pesta 'mengoca' berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 6:20 AM