PESERTA bekerjasama menebar jaring untuk menangkap ikan.
PESERTA bekerjasama menebar jaring untuk menangkap ikan.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Keunikan pertandingan memancing dan mengoca ikan menggunakan kaedah tradisional di FELDA Pasoh 4 di sini, menarik lebih 150 penyertaan dari dalam dan luar daerah ini.

Berbeza dengan pertandingan lain, peserta tidak dibenar menggunakan joran moden untuk menangkap ikan dalam acara dianjurkan syarikat ATOA Gua Pasoh yang aktif mempromosikan produk pelancongan di kawasan FELDA berkenaan.

Pengurusnya Norazlini Mohd Ali berkata, konsep pertandingan menggunakan dua kolam ikan di tanah rancangan berkenaan jelas disukai pihak yang hadir memeriahkan acara, kelmarin.

“Berdasarkan sambutan ramai, kami akan jadikan pertandingan ini acara tahunan, secara tidak langsung dapat mempopularkan kembali cara menangkap ikan dengan memancing dan mengoca.

“Bagi pertandingan memancing, peserta perlu menggunakan joran tradisional dibuat daripada batang pokok bertam, buluh serta salak. Bagi pertandingan mengoca pula, hanya jala dan jeramak iaitu jaring diperbuat daripada tali tangsi boleh digunakan peserta,” katanya.

AKTIVITI mengoca disertai penduduk dari pelbagai peringkat dan umur.
AKTIVITI mengoca disertai penduduk dari pelbagai peringkat dan umur.

Katanya, pelbagai jenis ikan termasuk tilapia, haruan, lampam, keli dan belida ditangkap peserta sepanjang empat jam pertandingan itu diadakan.

“Pertandingan ini antara tarikan baru bagi pengunjung yang biasanya datang untuk meneroka Gua Pelangi di kawasan ini,” katanya.

Peserta Zabidi Hasan, 45, berkata, bukan semua mahir menggunakan jeramak dan jala iaitu kaedah menangkap ikan popular penduduk kampung.

“Namun ia menjadi cabaran yang disukai peserta. Saya juga tidak mahu melepaskan peluang menyertai pertandingan ini,” katanya yang berjaya menangkap hampir dua kilogram ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Disember 2018 @ 10:58 AM