PANGKALAN Nelayan Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah memberikan kemudahan kepada nelayan untuk menyimpan perahu dan peralatan menangkap ikan. FOTO Hassan Omar
PANGKALAN Nelayan Kampung Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah memberikan kemudahan kepada nelayan untuk menyimpan perahu dan peralatan menangkap ikan. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: "Kami tidak mahu sungai tempat mencari rezeki ini dituba dan mahu ia kekal sebagai tempat pembiakan ikan dan udang galah.

"Jika ada sesiapa menuba atau menangkap ikan dan udang dengan cara salah, kami sedia menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perikanan," kata Sukarelawan Perikanan Darat, Maulud Idris, 60.

Dia berkata, Sungai Rembau, Sungai Ramuan Cina dan Kuala Linggi, di Lubok Cina dekat sini adalah antara sungai utama nelayan darat mencari rezeki sejak turun-temurun.

"Nelayan sungai di Pangkalan Nelayan Ramuan Cina Kecil, Paya Lebar, Tebing Urut dan Telok Berembang tidak terbabit dalam kerja menangkap ikan dan udang dengan menggunakan tuba dan sering menasihati kaki pancing yang datang dari luar.

"Kami beritahu mereka supaya memancing atau menjaring dengan betul dan bukannya membuang racun tuba ke dalam sungai semata-mata untuk meraih keuntungan jangka pendek," katanya.

Dia berkata demikian selepas majlis pelancaran Sukarelawan Perikanan Darat di Pangkalan Nelayan Kampung Ramuan Cina Kecil, dekat sini semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Mohd Fauzi Salehon bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Seramai 20 nelayan darat daerah Alor Gajah dan 10 dari Jasin dipilih menganggotai sukarelawan berkenaan.

Mereka berfungsi menyalurkan maklumat kepada jabatan berkenaan jika ada ada pihak tertentu menangkap ikan dengan menggunakan kaedah dilarang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 11:49 AM