Antara hasil tangkapan dan dimasak untuk dimakan bersama ahli keluarga di tepi pantai di Tanjung Biru, Port Dickson. FOTO  Mohd Khidir Zakaria.
Antara hasil tangkapan dan dimasak untuk dimakan bersama ahli keluarga di tepi pantai di Tanjung Biru, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria.
Mohd Khidir Zakaria

PANTAI peranginan Port Dickson, Negeri Sembilan, bukan hanya sekadar lokasi berkelah malah turut terkenal sebagai lokasi menjala ikan segar dan ketam.

Ini terbukti apabila ramai individu yang datang ke sini untuk menangkap hidupan laut selain berkhemah di pesisir pantai.

Salah seorang pelancong, Norazmi Kadirun, 45, berkata, dia yang berasal dari Seremban kerap datang ke sini untuk menjala atau mencari ketam ketika air surut.

"Boleh dikatakan hampir setiap bulan, saya bersama keluarga akan berkhemah di tepi pantai Port Dickson dengan aktiviti menjala dan mencari ketam.

"Lebih menarik aktiviti ini dilakukan bersama beberapa ahli keluarga, bapa saudara dan sepupu," katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Biru malam tadi.

Norazmi berkata, sebahagian ikan dan ketam ditangkap akan digoreng sebelum dinikmati bersama ahli keluarga.

"Ikan dan ketam yang segar rasanya amat manis dan sedap. Selain pelbagai jenis ikan dan ketam, kami juga mendapat udang kertak atau udang lipan serta sotong.

"Kepada pengunjung yang menginap di hotel atau berkhemah di Port Dickson, jangan lupa bawa sekali jala, lampu suluh, baldi serta tangguk ikan supaya aktiviti di sini lebih menarik," katanya.

Bapa saudaranya, Mohd Yusuf Zakaria, 59, berkata, aktiviti menjala dan mencari ketam adalah aktiviti wajib keluarga setiap bulan.

"Selain rasa hasil laut yang manis dan segar, kami juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” kata bekas guru itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:11 PM