INTAN Nur Ashilla bersama rakannya, Azri menunjukkan lokasi Mohd Fakrul hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Biru, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
INTAN Nur Ashilla bersama rakannya, Azri menunjukkan lokasi Mohd Fakrul hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Biru, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG lelaki berusia 32 tahun hilang ketika beriadah bersama adik dan rakannya di pantai Batu 10, Tanjung Biru di Port Dickson, hari ini.

Adik mangsa, Intan Nur Ashilla Mohd Afandi, 28, berkata, dia bersama mangsa, Mohd Fakrul, dan rakan abangnya itu, Azri Alias, 33, datang ke Port Dickson dari Taman Melawati, Kuala Lumpur hanya untuk berkelah.

“Kami bertiga sampai ke pantai ini 9 malam (semalam) dan terus memasang khemah. Abang (mangsa) sendiri yang memilih lokasi untuk berkhemah dan ini julung kali kami ke sini.

“Sejak tengah malam, abang kerap ke gigi air manakala saya dan Azri menyiapkan makanan,” katanya ditemui di lokasi hari ini.

Katanya, pada 4.15 pagi tadi, mangsa mengajak mereka mandi sambil mencari ketam di satu daripada lokasi di kawasan berkenaan.

“Saya dan Azri menolak ajakan dia kerana mahu memasak. Pada 5.30 pagi, ketika air surut, saya gagal menemui abang dan segera kembali ke khemah memaklumkan Azri tentang perkara itu.

“Kami berusaha mencari abang sehingga 6.30 pagi sebelum meminta bantuan beberapa individu yang kami temui di pantai. Kami kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Port Dickson.

“Abang bekerja di sebuah kilang di Singapura dan baru balik bercuti tiga hari lalu, saya berdoa semoga abang ditemui selamat,” katanya yang berasal dari Besut, Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 9.01 pagi tadi.

“Seramai 28 anggota dikerah bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR). Kami berpecah kepada beberapa kumpulan namun gagal menemui mangsa.

“Kami akan terus mengesan mangsa sehingga dia ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:40 PM