MOHD Fakrul Fareez ditemui dalam keadaan lemah di Pantai Tanjung Biru. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOHD Fakrul Fareez ditemui dalam keadaan lemah di Pantai Tanjung Biru. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


MANGSA yang hilang di laut ditemui dalam keadaan lemah dan kebingungan di pantai Batu 10, Tanjung Biru, Port Dickson, tengah malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, Mohd Fakhrul Fareez Mohd Afandi, 32, yang hilang pada pagi 2 Mac lalu sudah ditemui dalam keadaan selamat.

“Mangsa ditemui dalam keadaan lemah pada 12.42 tengah malam tadi sedang berjalan menuju ke pantai Tanjung Biru.

“Semua anggota penyelamat segera memberikan bantuan dan membawanya ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, mangsa yang masih bujang kelihatan seperti agak bingung dan lemah.

“Kami terus memberikan bantuan kerana mangsa kelihatan penat selepas hilang lebih 43 jam di laut ketika beriadah bersama adik dan rakannya.

“Memang pasukan penyelamat sudah puas meronda di seluruh kawasan pantai dan hutan berhampiran tetapi tidak menjumpai mangsa.

“Kami tidak pasti apakah ada kaitan dengan kejadian mistik tetapi yang penting, mangsa sudah selamat ditemui,” katanya.

Pada 1 Mac lalu, mangsa bersama adiknya, Intan Nur Ashilla Mohd Afandi, 32, dan rakannya, Azri Alias, 33, datang beriadah ke pantai pada jam 9 malam.

Pada jam 4.30 pagi mangsa memaklumkan ke laut untuk mencari ketam dan mandi. Adik dan rakannya itu keluar mencari mangsa pada 5.30 pagi tetapi gagal menemui mangsa.

Azri berkata, operasi ditamatkan 1 pagi tadi kerana mangsa yang hilang sudah ditemui dan dalam keadaan selamat dan kini sedang dirawat di HPD.

Berita berkaitan

Fakhrul ditemui selamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 3:28 PM