JAMIL Osman.
JAMIL Osman.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lelaki berusia 70 tahun yang datang dari Johor Bahru bersama keluarganya, hilang semasa pergi ke tandas, di Pantai Cahaya Negeri di sini, semalam.

Menurut anaknya, Marian Jamil, 40, kejadian itu berlaku kira-kira 5 petang apabila bapanya, Jamil Osman, 70, berkata mahu pergi ke tandas.

"Abah saya pergi bilik air untuk buang air kecil dan selepas itu, saya ada ternampak abah saya sudah keluar dari bilik air.

"Apabila sekali lagi saya pandang, abah saya sudah tiada di situ dan saya terus bertanya adik ipar kerana menyangka dia ikut adik ipar saya," katanya ketika dihubungi tadi.

Katanya, sebaik adik ipar mengatakan abahnya tiada, kami sekeluarga terus mencarinya di kawasan sekitar.

"Kami sampai ke pantai ini pada 2 petang semalam bersama tiga keluarga untuk berkelah di sini dan kami juga terpaksa berpecah kerana orang terlalu ramai.

"Abah saya ada sedikit 'penyakit' lupa dan kami berharap supaya dia dapat ditemukan dengan selamat dan memohon agar orang ramai menghubungi saya jika ternampak di mana-mana," katanya.

Marian berkata, dia sudah membuat laporan polis di Port Dickson, kira-kira 10 malam tadi .

"Abah saya memakai baju kelabu gelap ada garisan putih dan berseluar panjang warna coklat sebelum dia didapati hilang.

"Saya sekeluarga amat berharap dia dapat ditemui kerana sudah hampir 16 jam dia hilang dan gagal dikesan sehingga kami terpaksa berkhemah di pantai ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan kehilangan warga emas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2022 @ 9:48 AM