BARANG dan duit yang dirampas. FOTO ihsan Polis
BARANG dan duit yang dirampas. FOTO ihsan Polis

Mohd Khidir

Port Dickson: Jadikan rumah kampung persis kasino apabila kumpulan kaki judi dijemput menyertai pertaruhan teka simbol atau dikenali dengan jolokan 'judi holo.'

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kegiatan dilakukan di sebuah rumah di Kuala Lukut di sini, terbongkar apabila pihak polis menyerbu kediaman itu 9 malam kelmarin.

Menurutnya, 16 individu ditahan dan dikenakan kompaun kerana berjudi dan melanggar SOP (prosedur operasi standard) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika serbuan dilakukan, kami melihat sekumpulan lelaki dan perempuan sedang duduk mengelilingi meja di bahagian dapur rumah itu.

"Turut ditangkap adalah pemilik kediaman yang turut bertaruh judi," katanya semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui satu plastik kanvas tertera gambar duit syiling, ayam, ketam, labu, udang dan ikan, satu piring kecil, satu mangkuk kecil, dua dadu dan wang tunai berjumlah RM 11,376.

"Kesemua 16 suspek membabitkan 10 lelaki dan enam perempuan turut dikenakan tindakan kompaun mengikut Peraturan Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit (Ordinan Darurat 2021) kerana tiada penjarakan fizikal dan menganjurkan perjudian.

"Kesemua tangkapan dan rampasan terus di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki bermain judi di dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 4:56 PM