WANG yang dirampas dan peralatan judi yang dtemui. FOTO Ihsan polis.
WANG yang dirampas dan peralatan judi yang dtemui. FOTO Ihsan polis.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Tujuh lelaki yang sedang leka berjudi ditahan ketika serbuan di sebuah pondok dalam kebun buah naga, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, pada 5.45 petang.

"Ketika serbuan sekumpulan lelaki sedang mengelilingi sebuah meja dan beberapa orang dilihat cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

"Suspek yang ditahan berusia lingkungan 24 hingga 74 tahun untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas perkakasan perjudian seperti tiga piring kecil, dua mangkuk kecil bercorak berwarna putih, satu papan kecil tercatat angka 1 hingga 6, satu kertas kotak tercatat angka 1 hingga 6, satu meja kayu, empat biji dadu tertera gambar ayam, harimau, labu, ketam, udang dan ikan.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai sejumlah RM11,647.

Selain itu, katanya, polis turut mengeluarkan tujuh kompaun ke atas semua suspek kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana berjudi di tempat bebas dan Perkara 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 P. U. (A) 225.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 12:25 PM