Mohd Khalil (tiga dari kanan) bersama rakan sejawat dari Indonesia di Genting Highlands hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Mohd Khalil (tiga dari kanan) bersama rakan sejawat dari Indonesia di Genting Highlands hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

SERAMAI 8,799 individu ditahan dalam Operasi Ice Breaker yang dilakukan di 298 sarang penagihan dadah di seluruh negara dari 29 Julai hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3.48 juta dalam operasi itu.

“Daripada jumlah itu, 621 individu yang ditahan didapati membekalkan dadah; 1,912 individu (memiliki) manakala 4,900 individu (urin positif).

“Dalam operasi itu juga, kami merampas 17,859 gram syabu, 35.84 gram ketamin; 99.40 gram pil erimin 5; 2,834 gram pil yaba; 4,121 gram pil ekstasi; 1,521 gram ganja dan 4,405 gram heroin dianggarkan bernilai RM3.48 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Dua Hala ke-12 dan Mesyuarat Kumpulan Kerja antara JSJN dengan Direktorat IV TP Narkoba Polri Indonesia di Genting Highlands hari ini.

Mohd Khalil berkata, di sebalik kejayaan operasi itu, berlaku beberapa kejadian tidak diingini membabitkan empat anggota polis yang cedera ketika bertugas.

“Seorang anggota JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu terbabit kemalangan apabila dia dilanggar suspek yang cuba melarikan diri dengan motosikal menyebabkan telinga kirinya koyak.

“Di Pulau Pinang pula, seorang anggota Balai Polis Bayan Baru putus jari manis kanan ketika mengangkat motosikal suspek ke dalam kenderaan polis.

“Kes ketiga membabitkan seorang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah patah tulang di bahagian tapak tangan kanan akibat pergelutan ketika menahan suspek.

“Seorang anggota IPD Kota Setar, Kedah pula patah tulang rusuk kanan apabila motosikal ditunggangnya melanggar lubang di jalan raya selepas penugasan operasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi besar-besaran itu akan diteruskan dalam masa terdekat bagi memastikan misi pihaknya untuk melakukan kacau ganggu dan mengurangkan kegiatan dadah selain merobohkan sarang penagihan di seluruh negara berjaya.

“Selepas operasi ini, kami akan menjalankan pemantauan di sarang penagihan yang digempur untuk memastikan kegiatan itu tidak berulang semula di lokasi berkenaan.

“Pada masa sama, serbuan dan operasi akan dijalankan secara berkala berpandukan maklumat diperoleh daripada orang awam.

“Sebaik dilancarkan 29 Julai lalu, 94 maklumat disalurkan orang awam kepada kami mengenai kegiatan dadah melalui talian hotline, 012 2087222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 12:25 PM