Siti Sofia Md Nasir


KEMENTERIAN Kewangan mengumumkan kerja menaik taraf Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT) di Georgetown akan bermula awal bulan hadapan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerja naik taraf yang membabitkan empat fasa dengan kos RM500 juta itu adalah kerjasama antara Pelabuhan Pulau Pinang Sdn Bhd (PBSB) dan pelaburan swasta.

Menurutnya, pelan pembangunan sehingga 2025 itu akan memperluaskan pangkalan sedia ada sehingga 400 meter bagi membolehkan dua kapal pelayaran mega datang dalam masa yang sama.

“Ketika ini, sektor pelancongan pelayaran kita naik ke tangga ketiga di Asia, di mana pelabuhan Georgetown menjadi pilihan utama dengan 152,000 pengunjung direkodkan pada tahun lalu.

“Bagi memastikan ia terus berkembang, kita perlu memastikan infrastruktur sentiasa dalam keadaan terbaik bagi menerima lebih ramai pelancong dalam sektor pelayaran,” katanya ketika sidang media di Georgetown hari ini.

Guan Eng ketika melakukan lawatan rasmi ke SPCT, Georgetown hari ini. Foto Danial Saad
Guan Eng ketika melakukan lawatan rasmi ke SPCT, Georgetown hari ini. Foto Danial Saad

Terdahulu, Guan Eng melakukan lawatan kerja ke PBSB dan melihat operasi SPCT secara dekat, selain turut beramah mesra dengan pelancong.

Difahamkan, projek naik taraf di atas kawasan seluas 2.83 hektar itu akan membolehkan SPCT menerima kehadiran pengunjung sehingga tiga juta setahun.

Guan Eng berkata, SPCT juga bakal dilengkapi dua kedai bebas cukai berbanding hanya satu kedai sahaja ketika ini.

Katanya, pelaksanaan tambahan kedai bebas cukai itu adalah susulan pengumumannya pada pembentangan Belanjawan 2019 pada 2018 lalu.

“Bagaimanapun, saya difahamkan pihak PBSB sedang dalam proses untuk menerima lesen daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 3:53 PM