TAN Teik Cheng. FOTO Arkib NSTP
TAN Teik Cheng. FOTO Arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) menandatangani perjanjian pajakan dengan syarikat MPDT Capital Berhad (MPDT) untuk pelaksanaan projek pembangunan gudang 5, 7, dan 8 di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) serta bahagian darat Tanjung City Marina, di sini bagi mewujudkan destinasi pelancongan.

Majlis menandatangani perjanjian pajakan itu disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Terdahulu, SPPP mempelawa syarikat yang berminat dalam tempoh 16 November 2020 hingga 15 Mac lalu untuk menyertai tender permintaan untuk cadangan (RFP) secara terbuka bagi projek pembangunan terbabit.

Pengerusinya, Datuk Tan Teik Cheng berkata, pihaknya menerima pelbagai cadangan daripada beberapa syarikat dan memilih MPDT selepas melalui beberapa proses untuk pembangunan projek berkenaan bagi tempoh selama 30 tahun dengan opsyen disambung selama 15 tahun.

"SPPP memberi kepercayaan penuh kepada syarikat ini bagi merealisasikan pembangunan di kawasan terbabit selepas mengambil kira kredibiliti dan pengalaman syarikat itu dalam melaksanakan projek tempatan dan antarabangsa.

"MPDT dijangka mengambil masa antara 18 sehingga 24 bulan untuk membangunkan tanah ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, MPDT akan melabur sebanyak RM120 juta sebagai kos keseluruhan pembangunan terbabit.

"Pelbagai fasiliti dan kemudahan dijangka akan dibangunkan di kawasan seluas 24,945.67 meter persegi ini yang pastinya dapat menghidupkan suasana di sekitar SPCT.

"Selepas pembangunan siap dan beroperasi, saya percaya kawasan ini akan menjadi produk pelancongan yang penting dan menarik di negeri ini.

"Ia juga semestinya akan mendorong sektor pelancongan negeri dan merangsang ekonomi Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 8:43 PM