STAR Cruises di Pulau Pinang
STAR Cruises di Pulau Pinang
BERNAMA

Georgetown: Setelah hampir dua tahun operasi sektor pelancongan di seluruh negara terencat akibat pandemik Covid-19, perkembangan terkini menyaksikan aktiviti pelancongan dalam negara sudah mula 'digerakkan' secara beransur-ansur.

Di Pulau Pinang, aktiviti pelayaran kapal persiaran kini kembali beroperasi menerusi Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier (SPCT), di sini, sejak 22 Disember lalu.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara (TMWU), Siti Hajar Yunus berkata, kapal persiaran Star Cruise Pisces mula menawarkan percutian pelayaran di lautan selama dua hari satu malam sekitar laut Pulau Pinang dan tiga hari dua malam ke Langkawi menerusi SPCT, sejak minggu lalu.

Beliau berkata, selaras dengan usaha pemulihan ekonomi negara yang menyaksikan banyak sektor dibuka secara beransur dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat, pihaknya sedang giat berusaha mengembalikan keyakinan orang ramai bagi menjadikan pelayaran persiaran sebagai antara aktiviti pelancongan menarik dan selamat.

"TMWU sedang berusaha mempromosi aktiviti pelayaran persiaran ini kepada orang ramai, terutama kepada yang masih ragu-ragu mengenai pengendalian SOP ketika berlayar," katanya di majlis penutupan Program Suai Kenal Star Pisces One Night Familiarisation Cruise di SPCT di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, TMWU mendapati syarikat pengendali mengambil serius mengenai keselamatan dan kesihatan pelancong melalui SOP ketat termasuk ujian antigen (ATK) sebelum menaiki kapal, aspek penjarakan fizikal di luar dan dalam kapal, malah hanya satu per tiga daripada kapasiti pelancong dibenarkan belayar dalam satu-satu masa.

"Sebelum ini ada keraguan daripada segi makanan dan aktiviti kasino di atas kapal, (namun) sebenarnya Star Cruise menawarkan makanan halal.

"Terdapat pelbagai kemudahan lain di atas kapal seperti kolam renang, spa, gimnasium, pusat karaoke dan aktiviti hiburan lain yang menarik," katanya.

Siti Hajar berkata TMWU menyasarkan untuk menarik minat golongan muda bagi mencuba pelancongan berbentuk pelayaran memandangkan lazimnya ia sering disertai golongan berusia.

Beliau berkata, dalam usaha itu, pihaknya membawa pempengaruh untuk menguar-uarkan pakej ditawarkan dan ramai anak muda didapati sangat berminat untuk mencuba pelancongan pelayaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 3:57 PM