Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Foto Luqman Hakim Zubir
Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Foto Luqman Hakim Zubir
Siti Sofia Md Nasir

TIADA isu membabitkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memangku sementara jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Dr Mahathir hanya memangku sementara sehingga lantikan baru bagi jawatan itu diumumkan.

“Saya bagi contoh, sekiranya saya pergi bercuti, mesti ada menteri yang akan ganti. Begitu lah yang terjadi.

“Bezanya, Perdana Menteri akan memangku mungkin dalam tempoh beberapa bulan sehingga ada lantikan baharu,” katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pelabuhan Pulau Pinang Sdn Bhd (PBSB) di Georgetown hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan Dr Mahathir akan memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Jawatan Menteri Pendidikan kosong selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan minggu lalu berkuat kuasa 3 Januari selepas mendapat nasihat Dr Mahathir dalam satu pertemuan sehari sebelum itu.

Sementara itu, Guan Eng berkata, pihaknya berhadapan dengan masalah dalam menerima pengesahan mengenai pembelian kereta Proton Perdana baharu untuk kegunaan rasmi kerajaan.

Menurutnya, Proton lewat memberikan pengesahan berikutan kenderaan itu sudah tidak dijual lagi dalam pasaran.

“Ada yang tidak tahu Proton Perdana sudah tidak dijual lagi. Sebab itu kita perlu dapatkan kepastian daripada pihak Proton dahulu, baru kita dapat sahkan.

“Bagaimanapun Proton lewat beri pengesahan sebab itu kita buat secara berasingan,” katanya.

Semalam, Guan Eng mengumumkan menteri dan timbalan menteri Kabinet akan terus menggunakan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi.

Beliau dilaporkan berkata, penggunaan kenderaan mewah yang dilaporkan media akan digunakan anggota Kabinet dan pegawai tinggi kerajaan sebelum ini sebenarnya hanyalah pilihan kedua selepas pihaknya dimaklumkan Proton Perdana untuk kegunaan rasmi itu tidak mencukupi oleh pembekal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 6:51 PM