Zuliaty Zulkiffli


USIANYA baru 11 tahun, namun minatnya yang mendalam terhadap lagu rakyat menjadikan dia sebagai penglipulara di sekolah.

Kebolehan dimiliki murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga Tunjang, Muhammad Zikri Afif Mokhtar secara tidak langsung menarik perhatian guru dan rakan sekelasnya.

Berikutan itu, gurunya, Ruslan Abu Bakar, 53, merakam aksi murid terbabit yang kemudian tular di laman sosial sehingga menjadi perhatian ramai warganet.

Ruslan berkata, dia hanya merakamnya sekadar suka-suka, namun tak sangka menjadi hiburan sehingga tular di media sosial.

Katanya, video itu dikongsi 12,000 orang dan ditonton oleh 545,000 orang selain komen melebihi 3,400 orang serta disukai 6,400 orang.

“Lagu Coq Kodok itu adalah lagu penglipurlara rakyat Kedah, namun kebanyakan yang menonton terdiri dari warganet dari negeri lain,” katanya ketika ditemui di sekolahnya di Jitra, semalam.

Sementara itu, Muhamad Zikri Afif berkata, sejak berusia tujuh tahun dia sudah meminati lagu rakyat ketika pertama kali mengikut ibu bapanya ke rumah kenduri.

Katanya, ketika itu DJ Ed menjadi pengacara majlis perkahwinan itu dan turut menyanyikan beberapa lagu rakyat.

“Selain itu saya tengok dalam YouTube sebelum hafal lagu berkenaan.

“Mungkin sebab saya orang Kedah sama kot, sebab tu la saya boleh nyanyi lagu tu dengan mudah sebab seni katanya unik,” katanya.

Menurutnya, apabila diminta guru kelasnya menyanyikan lagu rakyat untuk tontonan dalam kelas, dia berani berbuat demikian walaupun rakan-rakannya ketawa.

“Saya tidak malu berdiri di hadapan kelas sambil menyanyi kerana menganggap ia sebagai hiburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 4:52 PM