TANGKAP layar video Koh Kim Foong menyanyikan lagu Air Mata Syawal dan Pulanglah yang mendapat pujian warganet. FOTO TikTok
TANGKAP layar video Koh Kim Foong menyanyikan lagu Air Mata Syawal dan Pulanglah yang mendapat pujian warganet. FOTO TikTok
Redzuan Muharam


Semenyih: Kemerduan suara Koh Kim Foong menyanyikan lagu Pulanglah dendangan asal Datuk Aishah mencuri perhatian warganet selepas video nyanyiannya tular di laman sosial semalam.

Rata-rata warganet mengagumi bakat nyanyian malah memuji kelancaran Kim Foong, 44, menyanyikan lagu Melayu tanpa kedengaran pelat.

Berkongsi kisahnya, Kim Foong yang juga guru Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang, Selangor berkata, video tular itu dirakam tiga tahun lalu menggunakan aplikasi Smule ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jadi, dia tidak menyangka video itu akan tular selepas abangnya, Koh Kim Loong, 47, memuat naiknya di TikTok semalam.

"Sebelum ini pernah muat naik video itu di Facebook (Fb) dan Youtube namun rakan terdekat saja yang 'like' juga komen.

"Abang pun pernah muat naik di Fb sebelum ini dan ramai juga komen cuma semalam dia kongsi di TikTok, saya pun tak tahu awalnya.

"Jadi terkejut juga apabila video itu raih lebih 92,000 tontonan kerana bukan baru dirakam dan dimuat naik tapi sudah tiga tahun," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kim Foong berkata, dia ada membaca juga komen warganet dan terharu kerana ramai yang sukakan nyanyiannya.

"Perasaan saya bercampur baur, gembira ada, segan pun ada.

"Lagipun, suara saya biasa saja, tak bagus mana pun... nyanyi seorang okay tapi depan orang memang takut dan gementar semuanya ada walaupun selalu juga buat persembahan dengan pelajar di sekolah.

"Apa pun, terima kasih sebab sudi luangkan masa tengok video saya," katanya.

Bercerita lanjut, Kim Foong berkata, nyanyian sekadar hobinya pada waktu terluang dan mengakui pernah menyanyikan banyak lagu Melayu sebelum ini.

"Saya membesar dengan lagu Pulanglah dan selain lagu Datuk Aishah, saya juga minat mendengar dan menyanyi lagu raya Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Lagipun, bukan hanya saya malah mendiang ayah, emak dan abang semuanya suka menyanyi.

"Saya pun banyak bergaul dengan rakan Melayu ketika di sekolah jadi sudah biasa dengan adat termasuk lagu raya yang menjadi siulan mereka.

"Ikutkan ada saja 'cover' lagu yang saya buat dan bermula waktu pandemik Covid-19 sebab bosan serta banyak muat naik di Fb serta Youtube cuma sekarang jarang (rakam dan muat naik) sebab sibuk dengan kerja hakiki sebagai guru," katanya yang sudah 21 tahun bergelar pendidik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 1:36 PM