DR Lee Boon Chye pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Batu Gajah, hari ini. FOTO NSTP.
DR Lee Boon Chye pada sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Batu Gajah, hari ini. FOTO NSTP.
Shaarani Ismail


PEMILIK premis makanan tidak dibenarkan menyedia ruangan khas merokok untuk pelanggan di dalam premis mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, ruang khas itu hanya boleh diwujudkan di kawasan luar, iaitu dalam lingkungan tiga meter dari tempat makan.

“Dan ia bukan lagi di bawah bidang kuasa kementerian ini sebaliknya di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pemilik tidak dibenarkan menyediakan ruangan khas merokok di dalam premis, dan tindakan tegas boleh diambil sekiranya mereka ingkar.

“Ruangan itu hanya boleh disediakan dalam lingkungan tiga meter dari tempat makan dan ia di bawah kuasa dan tanggungjawab PBT,” katanya ditemui pada Kempen Kesihatan dan Derma Darah di Pusat Khidmat Parlimen Batu Gajah, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata, pihaknya tidak pernah membincangkan mengenai ruangan khas merokok, sebaliknya perkara dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah cadangan ruang khas untuk membuang puntung rokok.

“Bagaimanapun terpulang kepada KPKT dan PBT untuk membuat keputusan melaksanakan saranan itu.

“Sebelum ini, Menteri KPKT (Zuraida Kamaruddin) telah mengarahkan supaya kemudahan itu (kawasan khas membuang puntung rokok) dapat disediakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, ‘food truck’ dan restoran di atas kapal dan kereta api di seluruh negara berkuat kuasa, 1 Januari lalu.

Bagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 tindakan penguatkuasaan ialah mengenakan kompaun RM250 terhadap mereka yang didapati merokok di tempat larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Pemilik premis pula boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peningkatan kes kanser sebagaimana didedahkan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, beliau berkata, kesedaran dalam mendapatkan saringan awal penting untuk menangani peningkatan kanser.

“Satu aspek (yang boleh dilakukan) dari segi saringan awal, supaya kita boleh mengesan kanser di peringkat awal,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 2:09 PM