MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. FOTO Farizul Hafiz Awang
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohd Hilmie Hussin


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara, menyediakan kawasan khas di lokasi yang bersesuaian untuk perokok.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, arahan itu dibuat bagi menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengeluarkan arahan larangan merokok di semua tempat makan awam bermula 1 Januari 2020.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini, Zuraida berkata, arahan penyediaan kawasan khas merokok itu akan dilaksanakan secara berperingkat di PBT terpilih.

“Pada 20 Disember lalu, saya telah merasmikan tapak projek Senario Ampang dan Santai@Ampang Point dan kawasan khas merokok turut disediakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), dalam lingkungan jarak tiga meter dari tempat makan awam.

“Penyediaan kawasan merokok ini mematuhi arahan yang ditetapkan KKM,” katanya, dalam kenyataan media yang diedarkan.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, perokok diminta tidak membuang puntung rokok merata-rata dan mengamalkan pembuangan sampah di tempat sesuai dan merokok di kawasan yang dibenarkan sahaja.

Beliau turut menggesa PBT melaksanakan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Larangan Pembuangan Sampah ke atas perokok yang membuang puntung rokok merata-rata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 1:39 PM