GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

HARGA runcit petrol RON97 naik dua sen kepada RM2.65 seliter manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuatkuasa tengah malam ini hingga 10 Januari.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa berdasarkan pengiraan mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu masing-masing sepatutnya RM2.35 dan RM2.43 seliter.

“Ini menunjukkan kenaikan dari minggu lalu bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada di paras RM2.33 seliter dan diesel yang berada pada paras RM2.39 seliter.

“Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada aras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter, selaras dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan Program Subsidi Petrol (PSP),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh 4 Januari sehingga 10 Januari berjumlah RM128.24 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:52 PM