FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Siti A’isyah Sukaimi


HARGA runcit petrol RON97 turun 11 sen seliter iaitu daripada RM2.67 seliter kepada RM2.56 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa 12 tengah malam ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, harga runcit produk petroleum itu bagi tempoh 27 Julai hingga 2 Ogos berdasarkan penepatan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama masing-masing sepatutnya RM2.26 seliter dan RM2.31 seliter.

“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu yang mana harga runcit produk petrol RON95 berada pada paras RM2.37 seliter dan diesel pada RM2.37 seliter,” katanya, hari ini.

Bagaimanapun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

Katanya, kerajaan menurunkan had paras harga RON95 daripada RM2.18 seliter kepada paras baharu RM2.08 seliter.

Selain itu, menurut kenyataan itu, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan dalam tempoh 27 Julai hingga 2 Ogos berjumlah RM90.48 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 6:05 PM