Zuliaty Zulkiffli


KETUA Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob yang cedera selepas kemalangan di Pokok Sena, Alor Setar akan dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, esok untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, proses pemindahan Zainuddin menggunakan helikopter Agusta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, helikopter itu dijangka berlepas dari Maktab PDRM Cheras pada 9 pagi.

“Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Muhammad Azlee Abdullah turut dijangka melawat Datuk Zainuddin esok.

“Sehingga 5 petang tadi (hari ini), beliau masih dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainuddin patah kaki kanan, cedera tangan kiri dan pinggul selepas motosikal ditunggangnya dirempuh Perodua Alza yang dipandu wanita berusia 41 tahun di persimpangan Pokok Pauh, Pokok Sena pada 11.10 pagi.

Ketika kejadian, beliau sedang berkonvoi dengan 300 anggota polis sempena program Konvoi Kapcai Ambang Tahun Baru 2020.

Berita berkaitan

Zainuddin patah kaki, cedera tangan

Ketua Polis Kedah cedera kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 9:51 PM