DATUK Zainuddin Yaacob. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Zainuddin Yaacob. FOTO Arkib NSTP.
Zuliaty Zulkiffli


KETUA Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob yang terbabit kemalangan di Pokok Sena, Alor Setar, hari ini akan menjalani pembedahan akibat kecederaan dialami di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Keadaannya bagaimanapun dilapor stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, setakat ini doktor memaklumkan Zainuddin perlu berehat dan tidak dibenarkan menerima pelawat.

Katanya, Zainuddin patah kaki kanan, cedera di tangan kiri dan tulang pinggul.

“Sebelum kejadian, beliau bersama sepasukan konvoi bermotosikal dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjanji untuk kumpul di lokasi itu.

“Manakala, saya bersama sepasukan konvoi polis yang lain berada di hadapan dan kami semua dalam perjalanan menuju ke Baling sempena Konvoi Ambang Tahun Baru 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Rozi berkata, konvoi itu adalah pengisian bagi program Komuniti Kepolisan yang bergerak ke Baling, Sungai Petani, Yan dan kembali ke IPD Kota Setar.

Katanya, disebabkan Zainuddin mempunyai program perhimpunan di IPK sebelah pagi, beliau tiba lewat di Pokok Sena.

“Siasatan awal mendapati, konvoi beliau sudah berhenti di persimpangan Pokok Pauh, namun secara tiba-tiba, sebuah Perodua Alza yang dipandu wanita 41 tahun merempuhnya.

“Kejadian itu menyebabkan Datuk Zainuddin terjatuh dan mengalami kecederaan sebelum dihantar ke HSB untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Rozi berkata, setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan pemandu wanita itu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian 11.10 pagi, Zainuddin cedera selepas motosikal Honda RS150 yang ditunggangnya dirempuh kereta Perodua Alza di simpang empat Pokok Pauh, Pokok Sena.

Berita berkaitan

Ketua Polis Kedah cedera kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 5:10 PM