Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba
BERNAMA

TIGA termasuk seorang bayi berusia setahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 124 Jalan Kuantan-Johor Bharu di Rompin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Zainal Omar Mahamud berkata, pada kejadian 9.30 malam itu, pemandu kedua-dua kereta maut di tempat kejadian iaitu seorang anggota polis, Sarjan Zainuddin Bakar, 57, dan Bayam Ija, 53.

Manakala cucu Zainuddin, Mohd Aras Iskandar disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Rompin.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Hyundai Accent dipandu Zainuddin dari Kuantan ke Mersing, Johor terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar Proton Iswara dinaiki Bayam,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Zainal Omar berkata, kemalangan turut menyebabkan anggota keluarga Zainuddin, iaitu isteri dan anak perempuannya cedera di kepala, manakala anak tirinya yang berusia tujuh tahun selamat.

Dua lagi rakan Bayam pula masing-masing cedera di kepala dan patah kaki.

Zainal Omar berkata, jenazah dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 9:17 AM