Suzianah Jiffar


LAPAN kes Influenza A (H1N1) dikesan di Sabah dalam kalangan kanak-kanak yang dilaporkan sejak 15 Disember sehingga semalam.

Kes itu membabitkan kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan satu tahun hingga 12 tahun.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, semua kes dilaporkan stabil.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengesahkan lapan kes H1N1 dikesan di Sabah dan jabatan juga sudah mengambil tindakan kawalan bagi mencegah perebakan jangkitan berkenaan termasuk memberi pendidikan kesihatan mengenai penyakit Influenza dan cara mengelak jangkitan diberi kepada orang ramai,” katanya menerusi kenyataannya di sini, semalam.

Kenyataan itu susulan penyakit H1N1 dalam kalangan kanak-kanak yang dinyatakan mendapat jangkitan di pusat membeli belah di sini, menjadi tular dalam WhatsApp, sejak semalam.

Influenza adalah jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam selsema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti kurang selera makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Demam selsema sangat mudah berjangkit kepada orang lain melalui udara dengan titisan (droplet) cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

Pada kebiasaannya, penyakit Influenza menyebabkan demam selsema yang ringan tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mengidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan lelah.

Sehubungan itu, Ming Fung berkata, jabatan menasihatkan orang ramai yang mengalami gejala yang sama seperti yang dinyatakan di atas, segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berhampiran sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk serta sakit tekak yang berterusan.

Oleh itu, katanya orang awam dan golongan berisiko tinggi secara khususnya amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Disember 2019 @ 2:01 PM