PRK Parlimen Kimanis. FOTO Bernama
PRK Parlimen Kimanis. FOTO Bernama
Suzianah Jiffar


SEORANG petugas jentera pilihan raya di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Membakut, disahkan menghidapi Influenza A (H1N1), selepas dua hari bertugas menjelang Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Norbhaiti Sabar berkata, seorang petugas mereka di PDM Membakut, Nurul Hazwani Haslan disahkan menghidapi H1N1 selepas jatuh sakit, baru-baru ini.

Katanya, Nurul Hazwani yang juga Penolong Setiausaha Puteri UMNO Wilayah Persekutuan dan juga Ketua Puteri UMNO Seputeh menghidap penyakit itu selepas dua hari bertugas di Kimanis.

“Nurul Hazwani berada di Hospital Gleanegles Kota Kinabalu, sejak malam tadi.

“Saya mohon sahabat semua untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih peka serta prihatin dengan sebarang tanda-tanda sakit sepanjang bertugas,” katanya menerusi kenyataannya, hari ini.

Disember lalu, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, sebanyak lapan kes H1N1 dikesan di Sabah dalam kalangan kanak-kanak.

Sehubungan Ming Fung meminta orang ramai yang mengalami gejala terbabit dinasihatkan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran.

H1N1 adalah jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam selsema, sakit tekak dan batuk, selain kurang selera makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi serta kelesuan.

Demam selsema mudah berjangkit melalui udara dengan titisan cecair daripada mulut dan hidung ketika bercakap, batuk atau bersin.

  • Lagi berita berkaitan PRK Kimanis
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 1:10 PM