FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


LELAKI mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, atas dua pertuduhan merogol anak saudaranya di sebuah rumah, awal bulan ini.

Tertuduh yang berusia 28 tahun membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Januari depan bagi serahan dokumen dan laporan perubatan mangsa, sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 14 tahun lima bulan di dalam sebuah bilik tidur di rumah berkenaan.

Dia didakwa melakukannya jam 10.30 pagi, 2 Disember dan sekali lagi pada 12 tengah hari, 6 Disember lalu.

Bagi setiap perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 375 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hashimah Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Disember 2019 @ 12:43 PM