GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pemandu trak tunda hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu dua lelaki dalam urusan jual beli kereta mewah jenis BMW dan wang tunai RM200,000.

K. Thiviyen Raj, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Azrul Darus.

Di hadapan Sabariah, dia didakwa memperdayakan bekas penyelia sebuah syarikat swasta berusia 27 tahun dengan memberikan cek tendang berjumlah RM225,000 sebagai bayaran pembelian kereta daripada mangsa.

Di hadapan Azrul, Thiviyen Raj mengaku tidak bersalah memperdayakan seorang pengurus majlis berusia 40 tahun bahawa dia boleh mendapatkan kereta mewah terpakai sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepadanya.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Laman Rimbunan Kepong di sini pada 3 Ogos 2023 dan di sebuah kondominium di Taman Kobena, Cheras pada Julai 2021.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Thiviyen Raj didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi dan Muhammad Amir Hannif Ahijman masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dan RM80,000 dengan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk A. Sheelan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga.

Sabariah dan Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 serta mengenakan syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 15 April sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2024 @ 7:25 PM