GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pengusaha kedai makan atau restoran di negara ini berdepan kesukaran untuk menegur pelanggan yang masih berdegil dan tidak mengendahkan larangan merokok di premis mereka.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya mendapati pelanggan masih gagal mematuhi larangan merokok di premis makanan sejak dikuatkuasakan pada 2019.

Menurutnya, pemilik premis sudah mengambil pendekatan melaksanakan arahan itu seperti meletakkan papan tanda larangan merokok, tiada tempat abu rokok dan tempat khas merokok, namun segelintir pelanggan masih berdegil.

"Pekerja sudah banyak kali menegur dan memberi nasihat, tetapi pelanggan masih ada yang berdegil. Pergaduhan mulut dan dimarahi itu sudah biasa, malah pernah ada kejadian pekerja ditampar.

"Boleh cakap semua premis sudah mematuhi apa yang disarankan kerajaan, namun kesedaran sivik di kalangan pelanggan (perokok) masih kurang," katanya.

Katanya, disebabkan itu, pihaknya berdepan masalah apabila mereka turut dikompauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas kesalahan gagal melarang pelanggan merokok di premis seperti berlaku kepadanya, baru-baru ini.

"Kita sudah tegur banyak kali tetapi tak diendahkan jadi saya hubungi pihak berkuasa. Apabila mereka datang bukan saja perokok itu dikenakan saman, malah saya juga sebagai pemilik premis disaman.

"Jadi di mana kewajarannya dalam perkara ini dan apa bidang kuasa kami untuk menegur pelanggan yang degil. Bagi saya ini agak keterlaluan untuk peniaga yang sudah patuhi semua apa yang disuruh kerajaan," katanya.

Katanya, kerajaan turut disarankan memberi kuasa kepada polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menguatkuasakan larangan ini selain melakukan pemantauan menyeluruh secara berkala setiap hari.

"Saya berharap kerajaan dapat melihat semula dan memperhalusi akta sedia ada yang membolehkan pemilik premis turut disaman kerana bukan kita tidak patuhi arahan, malah sudah melarang juga," katanya.

Sementara itu, Penasihat Sahabat Tomyam Prihatin Semalaysia Che Mamad Che Mod berkata, biarpun pihaknya tiada kejadian pekerja dipukul pelanggan, tetapi situasi sama turut berlaku apabila pelanggan masih tidak mengendahkan larangan merokok.

Katanya, sebagai peniaga, mereka gembira dengan usaha kerajaan yang melarang aktiviti merokok di tempat awam termasuk premis makanan tetapi kedegilan pelanggan menyebabkan mereka berada dalam dilema.

"Merokok ini lebih banyak buruk daripada baik termasuk dalam aspek kebersihan apabila mereka membuang puntung dan abu rokok merata-rata, malah asap rokok juga mengganggu dan tidak baik untuk pelanggan lain terutama kanak-kanak.

"Kami menegur dan menasihati cara baik, tetapi masih ada yang tidak mengendahkannya. Ada pelanggan yang merokok di luar premis, tetapi yang tidak berbuat demikian banyak juga," katanya.

Katanya, justeru pihak berkuasa juga disaran untuk melakukan penguat kuasaan secara lebih kerap terutama pada waktu operasi malam.

"Penguatkuasaan lebih kerap perlu dilakukan terutama antara 7 malam hingga 10 malam kerana ia adalah waktu orang ramai membawa keluarga mereka keluar makan.

"Kita juga berharap pelanggan memberi kerjasama kepada peniaga mematuhi larangan merokok itu kerana peniaga juga berdepan risiko disaman. Itu juga (menyaman peniaga biarpun sudah menegur supaya tidak merokok) tidak wajar kerana semua pihak perlu bekerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 1:46 PM