ABDUL Fattah menemani Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh (tengah) melawat gerai koperasi sekolah pada majlis penutupan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 Peringkat Kebangsaan anjuran ANGKASA.
ABDUL Fattah menemani Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh (tengah) melawat gerai koperasi sekolah pada majlis penutupan Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) 2019 Peringkat Kebangsaan anjuran ANGKASA.
Mohamad Hussin

SEBANYAK 38 koperasi sekolah di seluruh negara yang mencapai perolehan dari 500,000 hingga 699,999 telah dikenal pasti untuk mencatat pendapatan melebihi RM1 juta menjelang tahun 2025 sekiranya pelbagai perancangan perniagaan dilaksanakan bagi mencapai sasaran berkenaan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ANGKASA sudah melaksanakan pelbagai program pembangunan perniagaan koperasi sekolah.

Beliau berkata, antara aktiviti perniagaan koperasi sekolah termasuk kios, ejen bank, taska, dobi, pengendalian kantin sekolah, kafeteria, rumah tamu, inap desa, pelancongan, sewaan loker, penternakan, perkhidmatan spa dan peruncitan.

Katanya, sehingga kini, terdapat sembilan koperasi sekolah berjaya mencapai perolehan melebihi RM1 juta dan ke atas antaranya Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas Pulau Pinang Berhad, Koperasi MRSM Kubang Pasu Kedah Berhad dan Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah Kelantan Berhad.

Selain itu, Koperasi MRSM Taiping Perak Berhad, Koperasi MRSM Batu Pahat Johor Berhad, Koperasi MRSM Tunku Abdul Razak Pekan Pahang Berhad, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Berhad, Koperasi SMK Tansau Berhad dan Koperasi Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Lumpur Berhad.

“Antara cabang perniagaan yang digalakkan koperasi ceburi adalah perniagaan kios yang mana ANGKASA menyasarkan lebih 20 kios koperasi sekolah dibuka setiap tahun,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat ANGKASA, Petaling Jaya.

Abdul Fattah berkata, kios boleh diusahakan sendiri oleh koperasi atau disewakan kepada pihak lain atau kedua-duanya sekali dan antara jenis kios yang mendapat sambutan ialah kios tetap di tepi pagar kawasan sekolah, kios bergerak dan kios kontena.

“Bilangan kios yang diusahakan koperasi sekolah setakat ini berjumlah 171 pintu membabitkan 84 koperasi sekolah dan ada yang dalam proses pembinaan.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Jun 2019 sebanyak 2,433 koperasi sekolah telah didaftarkan membabitkan seramai 1.6 juta ahli di seluruh negara dengan jangkaan pendapatan perolehan sehingga Disember 2019 lebih RM500 juta.

“ANGKASA tetap dengan pendirian koperasi sebagai tempat untuk pelajar mendapat latihan keusahawanan dan memupuk nilai kerjasama, kesaksamaan, perpaduan melalui koperasi. Ini selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang menyasarkan untuk melahirkan 250,000 usahawan sebagai usaha merealisasikan sejuta peluang pekerjaan di Malaysia dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Menurut beliau, koperasi sekolah berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“ANGKASA berpandangan koperasi sekolah berpotensi menjana pendapatan tanpa mengganggu pembelajaran dalam kelas, malah terbukti mampu memberi latihan pembelajaran yang berkesan di luar kelas.

“Kami turut membantu memberi khidmat nasihat dari segi tadbir urus, kewangan dan pembangunan perniagaan misalnya membantu koperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) perniagaan koperasi sekolah.

“Justeru, Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) yang diwujudkan adalah satu usaha yang tepat bagi meneruskan kesedaran gerakan koperasi sekolah di Malaysia,” katanya.

Abdul Fattah berkata, AKKS sentiasa mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan koperasi sekolah sekali gus dapat mengimbangi antara aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan kokurikulum yang baik tanpa menjejaskan pembelajaran pelajar.

“Ia dapat memberi pengiktirafan kepada koperasi sekolah yang terbaik bagi peringkat negeri dan kebangsaan berdasarkan garis panduan AKKS serta menyedari kewujudan koperasi di sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik pelajar supaya mempunyai jati diri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 6:18 AM